Thursday, December 30, 2010

setahun sudah

Berikut adalah beberapa peristiwa besar dunia sebelum tirai 2010 berlabuh:

4 Jan. - Biarpun diselubungi krisis ekonomi dan hutang, bangunan tertinggi di dunia (828 meter), Burj Dubai yang juga monumen terhebat di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mula dibuka kepada orang ramai.

12 Jan. - Gempa bumi sekuat 7 skala Richter melanda ibu negara Haiti, meranapkan banyak bangunan dan dianggarkan 200,000 orang terkorban.

25 Jan. - Pesawat Boeing 737-800 milik Ethiopian Airlines membawa 90 orang terhempas dekat Beirut.

27 Feb. - Gempa bumi berukuran 8.8 skala Richter melanda Chile menyebabkan sekurang-kurangnya 708 terkorban serta turut mencetuskan tsunami yang meredah Lautan Pasifik dan melanda Jepun sehari kemudian.

14 Mac - Puluhan ribu penunjuk perasaan 'baju merah' berhimpun di Bangkok.

10 April - Presiden Poland, Lech Kaczynski dan beberapa pemimpin negara itu terbunuh dalam nahas udara di Smolensk, Rusia.

18 April - Perjalanan udara di seluruh Eropah lumpuh ekoran kepulan debu dari gunung berapi Iceland yang masih menyelubungi ruang udara.

22 April -Letupan telaga minyak di Teluk Mexico menyebabkan berlaku pencemaran minyak selama beberapa bulan, pencemaran terburuk di AS.

30 April - Parlimen Belgium meluluskan usul mengharamkan pemakaian burqa dan purdah di khalayak ramai dalam tindakan pertama seumpamanya di Eropah.

12 Mei -Seramai 96 terkorban dan seorang kanak-kanak Belanda terselamat dalam nahas pesawat Afriqiyah Airways milik Libya yang membawa 104 penumpang di Tripoli.

14 Mei -Lima maut dalam pertempuran antara tentera Thailand dengan penunjuk perasaan antikerajaan di tengah Bangkok semasa pihak keselamatan cuba mengepung markas Baju Merah itu.

20 Mei - Bukti jelas menunjukkan Korea Utara telah melancarkan sebutir torpedo sehingga mengakibatkan kapal perang Korea Selatan karam dan mengorbankan 46 anak kapal.

31 Mei - Sekurang-kurangnya 19 terkorban dan 30 lagi cedera apabila komando Israel menyerang flotila yang membawa beratus-ratus aktivis pro-Palestin dalam misi bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza, setelah mendakwa mereka menghadapi tentangan tidak disangka-sangka ketika menaiki kapal tersebut.

31 Mei - Enam lagi rakyat Malaysia berada dalam sebuah lagi kapal, Rachel Corrie yang juga dalam misi serupa, dilaporkan selamat, mereka terdiri daripada tiga wakil Perdana Global Peace Organisation serta Ahli Parlimen Parit, Mohd. Nizar Zakaria dan krew TV3.

5 Jun - Tentera Israel menawan kapal Rachel Corrie sekali gus menamatkan ketegangan berjam-jam lamanya di laut antara kapal itu dengan kapal-kapal perang rejim Zionis.

9 Jun - Benigno 'Noynoy' Aquino III diisytihar sebagai Presiden ke-15 Filipina setelah memenangi pilihan raya Presiden negara itu.

14 Jun - Dua klip video seks dipercayai penyanyi kumpulan Peterpan, Ariel bersama teman wanitanya yang juga seorang model dan pelakon, Luna Maya dan bekas teman wanitanya yang juga model serta hos rancangan televisyen, Cut Tari menggegarkan Indonesia.

16 Jun - Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menceraikan isteri baginda, Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar Hakim Mazhar dengan talak satu.

22 Jun - Vokalis kumpulan Peterpan, Ariel menyerah diri kepada polis kerana disyaki terlibat dalam pembuatan video lucahnya bersama dua artis wanita lain.

24 Jun - Julia Gillard, 48, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Australia yang baru sekali gus menjadikannya wanita pertama memegang jawatan itu.

2 Ogos - Angka kematian kebakaran hutan terburuk di Rusia dalam tempoh satu generasi meningkat kepada 48 orang.

14 Ogos - Presiden Barack Obama menyokong penuh pembinaan masjid berhampiran Ground Zero yang sebelum ini dibantah sebahagian rakyat AS.

24 Ogos - Filipina berhadapan kemarahan Hong Kong yang berkabung atas kematian lapan warganya di Manila.

30 Sept. - Mahkamah India memutuskan tapak suci yang menempatkan Masjid Babri yang mencetus rusuhan berdarah suatu ketika dahulu perlu dibahagikan antara komuniti Islam dan Hindu.

14 Okt. - Kesemua 33 pelombong yang terperangkap 700 meter di bawah tanah selama lebih dua bulan di sebuah lombong di Chile berjaya dibawa keluar apabila operasi rumit penuh risiko untuk menyelamatkan mereka berjaya.

26 Okt. - Lebih 500 maut apabila tsunami melanda kampung-kampung tepi pantai berikutan gempa bumi kuat di kepulauan Mentawai, Sumatera Barat.

29 Okt. - Thailand dilanda banjir paling teruk dalam tempoh beberapa dekad dengan 38 wilayah terjejas teruk dan angka korban mencecah 100 orang.

13 Nov. - Gunung Merapi menyebabkan 240 nyawa terkorban sejak mula meletus 27 Oktober lalu dan hampir 400,000 penduduk mencari perlindungan di kem-kem penempatan sementara.

13 Nov. - Pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi dibebaskan daripada tahanan di rumah.

23 Nov. - Korea Utara melancarkan serangan ke atas Korea Selatan dengan melepaskan berpuluh-puluh tembakan meriam ke atas Pulau Yeonpyeong.

22 Nov. - Peguam bela kepada vokalis Peterpan, Ariel, Afrian Bondjol menyifatkan pertuduhan ke atas anak guamnya direka-reka.

29 Nov. - WikiLeaks mula mendedahkan lebih 250,000 dokumen diplomatik, sekali gus membimbangkan AS yang memberi amaran ia akan mengancam nyawa mereka yang tidak bersalah serta memburukkan hubungannya dengan negara sekutu lain.

7 Dis. - Pengasas WikiLeaks, Julian Assange, ditahan polis Britain selepas menyerah diri berikutan waran tangkap ke atasnya atas dakwaan jenayah seks termasuk rogol.

12 Dis. - Dua keping gambar baru Putera William dan tunangnya, Kate Middleton yang diambil jurugambar Mario Testino, didedahkan kepada umum semalam sebagai meraikan perkahwinan mereka pada April depan.

15 Dis. - Pencipta Facebook, Mark Zuckerberg dipilih sebagai Orang (Terhebat) Tahun 2010 majalah Time.

27 Dis. - Aktivis Pro-Palestin merancang menghantar semula Mavi Marmara menyertai flotila bantuan kemanusiaan yang lebih besar ke Gaza tahun depan.

source:Utusan Malaysia Online

No comments: